Cerdik Itu Dicari, Bukan Diwarisi
“Perbezaan di antara manusia biasa dan manusia genius
bukannya terletak pada gen, tetapi diri manusia itu sendiri. Menurut pakar
neurosains, manusia biasa dan manusia genius berbeza dari
segi sejauh mana mereka berjaya menggunakan potensi otak secara berkesan
untuk mencapai sesuatu matlamat. Sekiranya kita tahu mengawal kuasa minda, kita
bukan sahaja mampu menjadi manusia yang lebih pintar tetapi juga lebih matang
dan bijaksana”
(Dr. Azlena Zainal & Dr. Munir Shuib : Buku Meningkatkan
Potensi Minda)
Pistachio a.k.a "kacang cerdik" dikatakan berkhasiat untuk menajamkan fungsi otak melalui kandungan potassium selain zat besi, anti oksida dan zat besi...
Setiap manusia dilahirkan dengan
kelebihan dan kekuatan tertentu. Begitu juga dengan kelemahan dan kekurangan
tertentu. Tidak semuanya sempurna. Boleh jadi seseorang itu pandai dalam hal
tertentu tetapi tidak dalam perkara yang lain. Boleh jadi seorang doktor pakar
dalam bidangnya tetapi tidak mahir dalam pertukangan rumah. Termasuk juga
seorang guru yang bijak dalam pengajarannya tetapi mungkin mengalami kekurangan
dari aspek ilmu menangkap ikan. Walau pun makanan kegemaran cikgu tersebut
ialah ikan.
Ada manusia yang dilahirkan tidak
sempurna tetapi diberikan kelebihan tertentu. Mungkin seorang yang lumpuh dan
hanya berkerusi roda tetapi memiliki bakat melukis yang hebat. Susan Boyle, seorang wanita Scotland berusia
48 tahun mencatat sejarah dunia selepas memenangi tempat kedua rancangan
realiti televisyen British’s Got Talent 2008. Suaranya yang merdu membayangi
penampilannya yang kurang menarik serta dirinya yang pernah mengalami masalah learning
disability suatu ketika dahulu. Albumnya terjual jutaan unit di seluruh
dunia termasuk tontonan di laman youtube melebihi 500 juta kali menjadikannya
jutawan hanya dalam tempoh setahun sehingga digelar sebagai voice of angel.
Allahyarham Prof. Datuk Dr. Ismail
Salleh, pakar ekonomi dari kelompok OKU membuktikan kejayaannya sebagai orang
buta pertama di dunia mendapat PhD sehingga diiktiraf dalam Guinness Book Of
Record serta menjadi Ahli Dewan Negara. Termasuk juga menjawat jawatan sebagai
CEO Twintech Holding, sebuah kolej pendidikan swasta di Lembah Klang.
Apa yang kita fahami dari beberapa
contoh di atas ialah kelebihan seseorang itu terletak kepada bagaimana cara
ianya diolah, digilap dan diasah menjadi satu kekuatan untuk mencipta
kecemerlangan hidup. Kekurangan dan kelemahan yang dihadapi hanyalah suatu
pelengkap dalam proses manusia mencapai matlamat hidupnya. Ia bukan penghalang
tetapi adalah sesuatu yang menguatkan lagi kredibiliti dan profil seorang
manusia. Seperti sebiji bola yang dibenam ke dalam air, semakin dalam dibenam
akan semakin tinggi ia melonjak apabila dilepaskan. Begitu juga dengan dahan
pokok yang dicantas. Semakin dicantas maka semakin banyak tunas yang akan
tumbuh. Itulah analogi dalam memahami signifikan ujian, masalah, kelemahan dan
kekurangan yang melintasi hidup manusia.
Inilah buah "kacang cerdik" yang masih segar dari pokoknya yang sebenar
Kelebihan semulajadi
Ada manusia yang diberikan kelebihan semulajadi seperi
kemahiran artikulasi dan penyampaian, melukis, bersuara lunak merdu,
berpenampilan menarik dan seumpamanya. Kelebihan ini dalam keadaan tertentu
digunakan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat hidup. Ada juga manusia yang
gagal menggunakan kelebihan yang diberikan kepadanya dan akhirnya tersungkur
dalam proses menjadi seorang manusia hamba kepada Allah s.w.t
Kelebihan yang dipelajari
Di sebalik semua itu, ada kelebihan dan potensi yang tidak
ada pada seseorang tetapi boleh dipelajari. Kemahiran dan potensi soft skill
adalah sesuatu yang boleh diasah, dilakukan secara pengulangan dan diperbaiki
kelemahan serta kekurangannya sehingga menjadi kelebihan yang memanfaatkan.
Boleh jadi seorang yang tidak mahir dalam ilmu pembicaraan atau public
speaking, menjalani latihan intensif serta kesungguhan, akhirnya menjadi seorang
pemidato yang hebat. Seorang pakar renang juga tidak lahir sebagai pakar
renang. Seperti Datuk Lee Chong Wei, tidak lahir sebagai bayi yang sudah boleh
bermain badminton tetapi menjalani siri latihan dan pengulangan yang akhirnya
menjadikan beliau juara dunia. Ungkapan ini sesuai untuk difahami bagi seorang
yang tidak ada kelebihan tertentu dan putus asa untuk mendapatkannya
“ Anda bukannya lemah dalam melakukan sesuatu, anda hanya
sekadar tidak mengetahui cara dan teknik yang betul”
Kesimpulannya, teknik dan cara sesuatu itu dilakukan
membezakan antara seorang manusia dengan seorang manusia yang lain. Keputusan
peperiksaan anda berbeza dengan rakan anda yang mungkin lebih cemerlang kerana
cara dan teknik yang anda lakukan berbeza dengan rakan anda tersebut. Sebab
itulah, mengasah teknik dan menguasai kemahiran berfikir amat kritikal. Seperti
kata seorang pemimpin dunia :
“ Sekiranya saya diberikan masa 8 jam untuk menebang sebatang
pokok, saya akan menghabiskan masa 6 jam untuk mengasah dan menajamkan kapak”
Berfikir dan merancang ditambah elemen kesungguhan
melaksanakan sesuatu adalah resepi kejayaan bagi seorang juara. Adakah
kewujudan anda di institusi ini pada hari ini dirancang? Apakah keputusan
peperiksaan semester anda dirancang? Apakah anda merancang siapakah anda 5
tahun ke hadapan?
Firman Allah s.w.t :
“Wahai orang orang yang beriman, bertaqwalah kepada allah dan
hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok dan
bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu
kerjakan”
Surah al Hasyr : Ayat 18
Kesimpulan
Untuk membina potensi dan menggilapnya menjadi suatu senjata
kecemerlangan, kita tidak harus menyempurnakan kesemuanya. Lakukan perubahan
secara kolektif dalam ruang termampu serta diikuti kesungguhan untuk merubah
diri. Seperti kata hikmah “
“Kesempurnaan itu bukanlah kerana anda seorang yang sempurna.
Tetapi kerana anda melakukan yang terbaik. Itulah kesempurnaan”
Islam menggalakkan kesungguhan umatnya dalam melaksanakan apa
jua perkara semasa hidup di dunia sebagai bekalan berkualiti untuk dibawa ke
Padang Mahsyar.
Lakukan perubahan dalam hidup kita ke arah kebaikan. Gilap
potensi kita sebagai bekal amal paling berharga.
ABU AZIZ
CSQ Training Centre