Wednesday 10 April 2013

CSQ Training Centre di RTM 1 - Sehati Sejiwa



Kali ini, saya hadir sebagai panel untuk talkshow "Sehati Sejiwa". Rancangan yang menjemput pasangan selebriti dan panel untuk membincangkan topik-topik semasa dalam rumahtangga. Disiarkan setiap hari Ahad jam 2-3 petang di TV1.

Pada kali ini, topik yang dibincangkan ialah " Kahwin Warga Asing". Saya digandingkan bersama pasangan suami isteri iaitu pelakon Catriona Ross & suaminya En Shaharudin. Rancangan ini dihoskan pula oleh pelakon berbakat yang petah mulutnya menyoal  iaitu Amyza Aznan.


Kami membincangkan baik buruk perkahwinan dengan warga asing. Dan apakah persiapan untuk seseorang itu apabila ia berkahwin dengan pasangan berlainan negara & bangsa.

Saya berkongsi bahawa Rasulullah s.a.w sendiri salah seorang isterinya ialah Safiyyah Huyai Akhtab, iaitu anak seorang ketua kabilah Yahudi. Bermaksud, perkahwinan itu asasnya bukan dilihat kepada bangsa seseorang tetapi pada kualiti agamanya.

Namun begitu, statistik yang melihat kepada isu perkahwinan bangsa asing khususnya dalam bab perceraian, melarikan anak, didera fizikal dan emosi memerlukan setiap pasangan mengkaji sedalamnya faktor ini sebelum membuat keputusan.

Justeru, jika pasangan anda warga asing, lihatlah rupa paras agamanya bukan faktor fizikal sahaja. Lihat juga aspek kewangan, kaji latar belakangnya, keluarganya. Pada masa yang sama, dapatkan konsesi sebelum berkahwin tentang di mana anda akan tinggal selepas berkahwin, faktor pekerjaan dan tempat melahirkan anak. Semua ini jika diselesaikan dengan baik, insya Allah apa jua bangsa dan negara, pasangan itu akan mencapai kebahagiaan.

Warga asing ini bukan sahaja merujuk warga bangladesh, Nepal dan Indonesi tetapi merujuk juga kepada warga Britain, Hong Kong dan negara yang lain. Terkadang, kerana gopoh tidak mengkaji latar belakang menyebabkan pasangan menderita selepas berkahwin khususnya orang perempuan.

Pada masa yang sama, faktor cinta telah "membutakan" semua kelemahan pasangan ketika sebelum berkahwin.

Justeru, timbang dan kajilah sedalamnya dan cermatilah sehalusnya pasangan kita sebelum berkahwin. Tidak kira sama ada warga tempatan atau warga asing.

Bahagia di tangan anda

CSQ Training Centre


No comments:

Post a Comment